Seperti
ribut, berita tentang pencerobohan Baitulmal tersebar luas. Bermula dengan
kekecohan yang berlaku dalam Pusat Pentadbiran Empayar Dua Dunia, terus
tersebar luas sehingga seluruh tanah jajahan empayar mengetahui perkara
tersebut. Perkara tersebut terbongkar apabila terdapat lubang pada atap
Baitulmal dan kesan tanah liat yang basah di atas lantai.
Perkara ini tersebar sehingga
diketahui oleh Gabenor Kerajaan Atas Awan, Emize’
al- Uthmani, menyebabkan gabenor teringin untuk menyiasat perkara ini,
menyiasat dalam kalangan rakyat Kerajaan Atas Awan sahaja lah. Bukan sebab apa,
Cuma takut-takut, ada rakyat Atas Awan yang menyertai kumpulan itu juga.
Gabenor Emize’ al- Uthmani juga bukan
suka sangat dengan pemerintahan Khalifah Dua Dunia. Kadangkala meluat juga.
Siapa tak meluat? Jadi rakyat Empayar Dua Dunia dulu, baru tahu langit itu
tinggi atau rendah. Ada sahaja yang menyertainya (shhh).
“Pihak Empayar Dua Dunia mengarahkan
kepada sesiapa yang mengetahui tentang Gerakan Sahabat Bersatu, maka hendaklah
melaporkannya kepada pihak empayar. Hadiah yang lumayan akan diberikan.”, kata
salah seorang tentera yang menyampaikan perutusan Khalifah yang berupa kertas
gulung capuk di atas pentas khas, betul-betul di tengah-tengah kesibukan pasar
awam yang sudah tentunya dikunjungi ramai rakyat jelata yang menginginkan ikan
segar seperti ikan paus. Kenyang tu beb!
Lalu, penggeledahan demi
penggeledahan, pencarian demi pencarian dilakukan. Rumah yang jika paginya
sudah dikemas, pasti bersepah apabila petangnya. Itulah yang cilakanya (maaf)
tentera Empayar Dua Dunia ini, tiada disiplin dan malas! Sudah menggeledah sana
sini tidak dikemas semula. Confirm,
ramai lah yang memaki hamun mereka secara senyap atau belakang-belakang, kerana
takut ditangkap atas kesalahan mengkhianat Empayar. Mereka terus mencari klu
atau petunjuk tentang gerakan yang diharamkan ini. Namun, tiada bukti atau
tanda-tanda yang dijumpai berkaitan gerakan rahsia ini. Dah nama pun rahsia,
mestilah susah nak jumpa! Sebenarnya, puas juga kami berlindung di dalam ‘Bilik
Bedah’ yang menjadi markas rahsia yang keberapa aku pun tidak tahu. Bukan
bermakna ‘Bilik Bedah’ itu bilik membedah orang atau apa-apa sahajalah, tetapi
membedah ilmu, membedah strategi.
Jika lapar, ada diantara kami yang
pandai menyamar (camouflage) di
tengah-tengah kesibukan pasar awam untuk membeli makanan seperti roti mahal dan
lain-lain. Ini semua dipelajari taktiknya oleh kami dan dihadamkan dari gerakan
pembunuh upahan Parsi yang bernama ‘Hashashin’. Sungguh hebat. Tak percaya,
pergi cari di perpustakaan.
Akhirnya, pihak Empayar Dua Dunia
terpaksa mengakui kehebatan penyamaran dan perlindungan kami (ceh…). Mereka akhirnya
telah berputus asa untuk mencari ahli-ahli Gerakan Sahabat Bersatu kerana
dipercayai di saat-saat akhir, ada ura-ura mengatakan bahawa gerakan ini
sebenarnya tidak wujud pun. Mereka hanya membuang masa sahaja mencari di sana
sini. Tetapi tidak bagi Khalifah dan barisan pentadbirannya. Bodoh itu bukan
pada mereka tetapi cukuplah untuk para tenteranya sahaja. Kebiasaannya, Ahli
Majlis Tertinggi inilah yang sukar untuk mengalah. Benar kata Ibn Al-Khaiyr,
seorang penyair Empayar Dua Dunia yang terkenal, merupakan ahli rahsia gerakan
ini. Kata beliau:
“ Biarlah mereka kalah dahulu,
Kerana mengalah itu, bukanlah mereka.”