Tuesday, 9 June 2015

Hikayat Empayar Dua Dunia : BAB 7 : KERAJAAN AKAR TUNJANG (Kerajaan Bawah Langit, Kerajaan Bumi)

Kerana kehidupan aku bermula dalam kerajaan ini juga. Setiap mereka yang dikutip, atau bahasa lembutnya ialah ditawan, pasti mereka pernah hidup dalam kerajaan ini. Terdapat lima negeri kesemuanya. Disinilah terletaknya pusat pentadbiran Empayar Dua Dunia, iaitu empayar yang menguasai dua kerajaan, iaitu Kerajaan Akar Tunjang dan Kerajaan Atas Awan. Perkataan ‘Dua Dunia’ itu merujuk kepada kerajaan berkembar itulah.

            Kehidupan rakyat Kerajaan Akar Tunjang hampir menyamai kehidupan rakyat Kerajaan Atas Awan. Terdapat juga pelbagai hikayat yang berlaku dalam kerajaan ini. Malah, boleh aku sifatkan, lebih teruk daripada kisah-kisah yang berlaku dalam Kerajaan Atas Awan. Mereka yang hidup di bawah pemerintahan Kerajaan Akar Tunjang, terseksa hari demi hari, kerana Kerajaan Akar Tunjang tidak mempunyai sebarang keistimewaan dalam pentadbiran, semuanya diperintah secara total oleh barisan pemerintah Empayar Dua Dunia. Cumanya, Kerajaan Atas Awan sahaja yang diberi keistimewaan dalam pentadbiran, iaitu keistimewaan untuk memerintah kerajaan sendiri, tetapi masih lagi di bawah jajahan takluk Empayar Dua Dunia. Kehidupan wanita dalam Kerajaan Akar Tunjang sangat terjaga, tetapi bagi mereka yang lelaki, sangat terseksa. Kaum lelaki dikenakan pelbagai peraturan. Bagi wanita, terdapat banyak pengecualian.

            Dahulu, Kerajaan Atas Awan begitu juga. Semasa kerajaan ini tiada apa-apa keistimewaan dalam pentadbiran, kerajaan ini juga ditadbir oleh pimpinan Empayar Dua Dunia juga. Sungguh terseksa. Mungkin jika diceritakan kepada pemuda Kerajaan Atas Awan zaman kini tentang kepayahan hidup zaman dahulu, mungkin mereka akan memperlekehkannya, dengan alasan, ‘Dunia Sudah Maju, brader’ atau ‘Jangan diungkit-ungkit lagi’.

            Tetapi itulah hakikat, kebijaksanaan rakyat Kerajaan Atas Awan yang dahulu namanya ialah Kota Atas Awan (kerana ketiadaan kerajaan) telah menang dalam perang dingin yang berlaku antara mereka dan barisan pentadbir Empayar Dua Dunia yang kejam. Penyebaran risalah-risalah untuk meraih sokongan rakyat terus disebarkan untuk menyatakan kepada rakyat yang mereka harus bangkit untuk berkerajaan sendiri.

            Sungguh hebat pahlawan-pahlawan ketika itu, di mana mereka tidak menggunakan senjata untuk berperang, tetapi hanya membawa senjata keramat yang dipanggil ‘Akal’ sahaja. Maka, menanglah mereka dalam perang dingin tersebut kerana kebijaksanaan pimpinan rakyat pada ketika itu yang dipimpin oleh Emize’ al- Uthmani yang dikenali sebagai Gabenor Emize’ al-Uthmani, kerana telah dipilih menjadi Gabenor atas sokongan rakyat Kerajaan Atas Awan.

            Kerajaan Akar Tunjang masih lagi ditadbir oleh pimpinan Empayar Dua Dunia. Dahulu, mereka tidak tahu strategi-strategi untuk menghadapi perang saraf atau dingin yang dicetuskan oleh rakyat Kota Atas Awan. Kini, pakar-pakar mereka telah mengkaji bahawa akal mereka boleh digunakan untuk menandingi Kerajaan Atas Awan yang merupakan tanah jajahan mereka juga, dengan menggunakan ‘tikus makmal’ iaitu rakyat Kerajaan Akar Tunjang. Ya, rakyat Akar Tunjang terseksa kerana telah dijadikan bahan experiment yang digunakan untuk mengetahui keberkesanan taktik-taktik perang dingin untuk menarik balik hak Kerajaan Atas Awan yang mempunyai keistimewaan mentadbir sendiri. Ada di antara mereka yang hampir gila kerana seringkali ‘dibasuh’ dengan agenda-agenda jahat lagi retorik untuk menentang Kerajaan Atas Awan. Rakyat Akar Tunjang di hasut supaya mereka bersatu-padu menyerang Kerajaan Atas Awan, tetapi rakyat Akar Tunjang tetap dengan perhubungan baik mereka dengan rakyat Atas Awan. Cumanya, barisan pentadbir Empayar Dua Dunia sahaja yang dengki. Bukan Khalifahnya yang dengki, tetapi barisan pentadbir yang lain, dengki. Mungkin hati mereka telah hitam dan mengkambing hitamkan lagi Khalifah mereka. Khalifah dijadikan boneka oleh mereka yang disebalik tabir agenda jahat ini.

            Tetapi, ada di antara rakyatnya yang telah menubuhkan persatuan rahsia (underground) yang dinamakan ‘Gerakan Sahabat Bersatu’. Persatuan ini adalah bertujuan untuk menentang segala kejahatan yang bertopengkan kebaikan dalam Empayar ini. Ahlinya juga adalah dalam kalangan rakyat Kerajaan Atas Awan dan rakyat dari Kerajaan Akar Tunjang yang juga berusaha menuntut keistimewaan terhadap Kerajaan Akar Tunjang yang meninginkan kuasa pemerintahan sendiri.


            Mereka, rakyat Akar Tunjang dan rakyat Atas Awan sangat akrab. Mereka mempunyai perhubungan rahsia yang tidak diketahui oleh barisan pentadbir Empayar Dua Dunia. Jika diketahui, habis, matilah. Aku juga berada dalam Kerajaan Akar Tunjang dahulu. Tetapi setelah ditawan oleh askar-askar Atas Awan, maka aku juga termasuk menjadi banduan Atas Awan. Walaupun banduan, tetapi aku dilayan oleh Kerajaan Atas Awan terutamanya daripada Gabenor sendiri, layanan yang sangat baik, lebih daripada layanan kepada seorang rakyat biasa. Sungguh luar biasa layanan mereka. Bebas kemana-mana sahaja. Tidak seperti banduan langsung. Tidak terikat dengan apa-apa undang-undang penjara pun.

0 comments:

Post a Comment

G-Dragon - Crayon [Official Instrumental]


Powered by mp3ye.eu