Tangguh dahulu hikayat petani dan
Tuan Tanah tersebut, cuma nak dijadikan cerita, apakah kesan terhadap
tanah-tanah milik Tuan Tanah dan petani-petani bawahan milik Tuan Tanah
tersebut? Tuan Tanah tersebut mempunyai ramai petani-petani bawahan yang
menguruskan tanah-tanahnya. Pada mulanya, para petani dilayan dengan begitu
baik sekali. Itulah sifat yang bagus yang dimiliki oleh rakyat yang hidup di
bawah lembayung Kerajaan Atas Awan. Mereka yang termasuk di dalam golongan
atasan melayan mereka yang berada dalam golongan bawahan dengan baik sekali.
Tetapi, tidak tahu apa silap Tuan
Tanah tersebut, apa yang dimakan, disihirkah? Sungguh kuat magis cinta yang
dilakukan oleh petani tersebut, yang menyebabkan Tuan Tanah itu melupakan
segala hal-hal dunia, meninggalkan segala harta bendanya terutamanya
tanah-tanahnya, juga para petaninya yang setia. Ya, pada mulanya mereka amat
setia kepada tuan mereka. Apa yang terjadi sekarang ini membuatkan para petani
curang dan lari daripada Tuan Tanah tersebut, dek kerana Tuan Tanah tersebut
sudah tidak mahu menjaga kebajikan para petaninya, kerana terlalu sibuk bermain
cinta. Ada juga rancangan-rancangan underground
yang dirancang oleh para petani untuk menggulingkan tuan mereka, sudah tidak
difikirkan lagi tentang kesetiaan yang dahulunya konkrit.
Penyebabnya sudah diketahui, dek
kerana cinta, semuanya dibuang jauh-jauh, semata-mata untuk fokus dalam
percintaan mereka. Lalu terdapat salah seorang petani wanita yang memberontak.
Memberontak kerana mahukan kerja, kerana itu sahajalah yang boleh menyara
hidupnya. Memberontak dengan pergi mencari Tuan Tanah yang baharu, Tuan Tanah
yang wanita juga. Lalu perkara ini diketahui oleh Tuan Tanah yang sibuk
bercinta tersebut, lalu pergilah dia bersemuka dengan Tuan Tanah yang baharu
tersebut. Konflik antara Tuan Tanah, akibat kekayaan yang dimiliki, perang
bakal meletus.
Disebabkan kebijaksanaan Tuan Tanah
baharu tersebut, lalu masalah dapat diselesaikan tanpa berlaku pertumpahan
darah antara mereka yang kaya-kaya. Boleh sahaja perang dicetuskan kerana
kekayaan yang dimiliki, tetapi diselesaikan dengan cara yang berhemah. Tetapi,
perkara ini tidak boleh didiamkan oleh Tuan Tanah yang sibuk bercinta tersebut.
Maka telah dilaporkan perkara tersebut kepada Gabenor tetapi ditolak oleh
Gabenor kerana masalah itu datang dari percintaan terhalang itu.
Hari demi hari, semakin ramai petani
telah berpaling tadah daripada Tuan Tanah yang bercinta tersebut kecuali petani
yang bercinta itu lah. Mereka bukan tidak kenal erti kesetiaan, tetapi
kesetiaan itu telah dicabuli oleh tuan mereka sendiri, yang membuatkan mereka
juga tidak boleh duduk diam memanaskan kerusi sahaja. Mereka juga perlu bermain
dengan kesetiaan tersebut yang dahulunya
dimain oleh Tuan Tanah tersebut kepada mereka. Biarlah Tuan Tanah tersebut
terasa sedikit, biar padan muka, eh… biar menjadi pengajaran kepada Tuan Tanah
tersebut bahawa sejarah juga telah menceritakan ramai golongan-golongan bawahan
bangkit menentang mereka yang di atas, kerana mereka juga sudah boleh berfikir
tentang hak asasi, hak yang sepatutnya mereka miliki.
0 comments:
Post a Comment