Maka,
terciptalah persatuan rahsia ini. Pada mulanya, ia terdiri daripada sekumpulan
rakyat marhaen yang suka menentang Empayar Dua Dunia. Salah seorangnya ialah
aku. Ya, ketika aku berada di bawah Kerajaan Akar Tunjang. Lagak kami
seakan-akan sekumpulan anarkis yang suka melanggar peraturan. Bukan melanggar
peraturan pun. Serius! Tetapi cara kami menentang agak radikal. Ya, kami
sungguh radikal. Pernah juga tertangkap dan dimasukkan dalam penjara. Di situ
kami mula serius untuk menubuhkan gerakan ini secara rasmi. Penubuhan kumpulan
ini, pada mulanya tiada nama, tetapi setelah dibincangkan oleh kami semasa di
dalam penjara, salah seorang daripada kami iaitu Nafri ‘Z’ memberi cetusan idea
yang bernas untuk menubuhkan gerakan ini, dengan bermatlamat. Matlamat yang
satu, menentang kezaliman.
Nafri ‘Z’ merupakan seorang insan
yang sangat genius. IQ yang dimiliki digunakan untuk mencari kebenaran,
menentang kezaliman. Dia merupakan rakyat Akar Tunjang yang hebat. Dia
merupakan anak murid kepada salah seorang ahli falsafah yang terkenal, Luraz
yang merupakan guru yang bertanggungjawab mengasah kebolehan unik yang
dimilikinya. Aku sangat kagum dengan Nafri ‘Z’, yang membuatkan kadangkala aku
cemburu. Cemburu dengan sikap baiknya yang zuhud. Badannya cukup sado (tegap),
dan kacak. Andai kata dia ingin menarik perhatian wanita, mungkin dengan satu
petikan jarinya sahaja, berkerumun wanita seperti semut mengerumuni gula.
Tetapi, dia bukan jenis yang begitu.
“Apa kata, kita bina satu gerakan,
gerakan yang ingin menentang kezaliman. Alang-alang kita telah tertangkap
akibat daripada penentangan kita ini, lebih baik teruskan sahaja niat kita
itu.”, kata Nafri ‘Z’ lalu semua mengangguk.
“Aku namakan gerakan ini, Gerakan
Sahabat Bersatu. Kita nak menentang, kita menentang terus. Tak payah nak
membaculkan diri. Terus sahaja lawan. Mungkin aku akan cari rakan-rakanku di
Kerajaan Atas Awan untuk membantu kita.”, katanya lagi. Lalu dia dipilih
sebagai ketua gerakan tersebut.
Pada mulanya, sebelum gerakan ini
dicipta, beberapa orang ahli ini (termasuk aku) telah ditangkap kerana
melakukan kesalahan menyebarkan satu fahaman yang menentang, mungkin anarkis.
Mempersembahkan sketsa-sketsa yang menunjukkan tentang perlunya menentang
kerajaan yang zalim. Ya, kerajaan yang zalim, kuku besi, pemerintahan firaun,
perlu dihapuskan. Inilah caranya. Kita kalah dengan cara berperang, mungkin
dengan cara hasutan dan penyebaran propaganda. Confirm, kita boleh menang. Itu sahaja cara untuk menentang
kezaliman.
Kami ditangkap dan dipenjarakan
seketika sebelum dibebaskan dengan ikat jamin. Tetapi, betul kata orang.
Penjara adalah madrasah tarbiyah yang terbaik juga. Nabi Yusuf dahulu
dipenjarakan, setelah keluar penjara, menjadi Gabenor Mesir. Kami juga begitu.
Aku tidak bertahan lama dalam gerakan tersebut. Aku direkrut untuk berperang
dalam peperangan (S)alib (P)un (M)enjelma, yang aku sudah ceritakan sebelum
ini. Setelah itu, aku ditawan oleh tentera Atas Awan yang mengambil aku setelah
aku tewas, kalah tidak bermaya.
0 comments:
Post a Comment